KOTA KINABALU: Kira-kira 200 penumpang kebanyakannya kakitangan kerajaan nyaris maut apabila kereta api dinaiki mereka merempuh sebuah lori tangki bermuatan 27,000 liter petrol yang menyebabkan letupan kuat di lintasan kereta api haram berhampiran Kilometer 5, Jalan Kota Kinabalu-Putatan, Petagas, dekat sini, semalam.
Letupan itu menyebabkan gegaran kuat di sekitar Petagas dengan asap tebal boleh dilihat dari jarak kira-kira lima kilometer (km), selain kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang kira-kira 10 km dari Jalan Kota Kinabalu-Putatan dan sebaliknya
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lapan penumpang kereta api cedera ringan manakala pemandu lori berkenaan tidak cedera.
Kereta api tiga gerabak itu dalam perjalanan dari Stesen Kereta Api Tanjung Aru, di sini membawa penumpang yang kebanyakannya kakitangan kerajaan yang baru pulang kerja ke Stesen Kereta Api Papar, kira-kira 70 km dari sini.
Kereta api milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) itu dikatakan baru meninggalkan stesen berkenaan pada jam 5 petang dan dipercayai bergerak pada kelajuan antara 40 hingga 50 km sejam tetapi pemandunya dipercayai gagal memberhentikan kenderaan itu kerana agak hampir dengan lori berkenaan.
Ia menyebabkan kepala dan gerabak pertama kereta api itu tergelincir ke kanan landasan sebelum hangus manakala lori itu terputus dua dengan bahagian kepala dan tangkinya terpisah kira-kira 10 meter di kiri dan kanan landasan.
Penumpang yang panik terpaksa memecahkan cermin kereta api dan melompat keluar bagi menyelamatkan diri daripada api yang menjulang setinggi kira-kira 30 meter.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat pemandu lori membelok ke kiri jalan untuk melintasi landasan sebelum membawa bahan api itu ke sebuah stesen minyak, kira-kira 300 meter dari tepi landasan.
“Pemandu lori dipercayai gagal mengesan kereta api berkenaan tetapi sempat melompat keluar dari kenderaannya sejurus sebelum kenderaannya dirempuh kereta api," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Jurucakap JKNS berkata, kejadian menyebabkan kepala kereta api seberat kira-kira 60 tan itu tergelincir ke kanan landasan manakala gerabak depan hangus.
Katanya, lintasan kereta api berkenaan dibuat pihak tertentu secara haram, menyebabkan tiada pintu di landasan berkenaan.
Beliau berkata, kereta api itu baru dibeli JKNS dari China mula beroperasi sejak Februari lalu selepas dihentikan selama lima tahun berikutan projek menaik taraf landasan berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, berkata bomba yang menerima panggilan pada jam 5.38 petang menghantar lima jentera dengan 35 anggota ke tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan kira-kira jam 6.45 petang.
notakaki : alhamdulillah semuanya selamat.