Friday, March 18, 2011

Jepun ada 48 jam elak 'Chernobyl baru'

Helikopter tentera Jepun membawa air untuk dijirus ke reaktor yang meletup

TOKYO: Jepun ada masa 48 jam untuk mengawal dengan segera krisis nuklearnya sebelum ia berdepan satu malapetaka 'lebih buruk berbanding Chernobyl'.
Jepun bergegas untuk mengelak kebakaran lebih teruk loji nuklearnya yang melepaskan radiasi pada tahap 809 mikrosievert sejam (unit radiasi) minggu ini.
Ada cubaan untuk menyejukkan kawasan itu dengan menjirus air laut dari helikopter dibatalkan kerana paras radiasi berbahaya di persekitaran bahagian atas loji.

Bacaan radiasi dekat bangunan itu mencapai 4,000 mikrosievert sejam ketika usaha itu dilakukan awal semalam.

Pihak berkuasa keselamatan nuklear di Perancis, berkata mereka pesimis sama ada jurutera Jepun dapat menghalang kebakaran teruk di loji jana kuasa Fukushima selepas satu kolam mengandungi batang besi bahan api nuklear berkeadaan terlalu panas dan mendidih dalam keadaan kering.

Thierry Charles, seorang pegawai keselamatan di Institut Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Radiologi Perancis (IRSN), berkata: “Tempoh 48 jam berikutnya akan menjadi penentu. Saya amat pesimis kerana sejak Ahad lalu, saya lihat hampir tiada satu pun penyelesaian berkesan.”
Ditanya mengenai jumlah maksimum pembebasan radioaktif, beliau berkata: “Ia mungkin dalam kadar sama seperti Chernobyl.”

Insiden di loji jana kuasa nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986 menyebabkan 57 kematian langsung, dengan tambahan 4,000 kematian akibat kanser.

Paras radiasi dalam bangunan yang dilanda bahaya itu malam tadi dikatakan amat tinggi selepas digegarkan dengan letupan awal, bermakna radiasi mungkin sudah berada dalam atmosfera.

Tokyo Electric, pemilik loji terbabit, berkata lima pekerjanya terkorban di tempat kejadian, dua lagi masih hilang dan 21 cedera.

Malam kelmarin, seorang ketua keselamatan nuklear Amerika, berkata kerajaan Jepun gagal mengakui tahap bahaya penuh situasi di loji Fukushima manakala amaran kepada rakyatnya tidak mencukupi dan tidak jelas.

Gregory Jaczko, pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika, memberi amaran, jika paras radiasi ‘amat tinggi’ adalah mustahil untuk kakitangan membuat pembetulan di loji mengambil kira ‘dos’ yang mereka mungkin alami berpotensi membawa maut dalam jangka pendek.

Jabatan Negara Amerika pula menyatakan, kerajaan menyewa sebuah pesawat untuk membawa warga Amerika keluar dari Jepun dan mengarahkan ahli keluarga petugas diplomatik pulang dari Nagoya dan Yokohama, membabitkan 600 orang.

Pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara mula gusar dengan sebarang kemungkinan seseorang dijangkiti radiasi dengan bertindak melancarkan pemeriksaan terhadap orang ramai, penumpang pesawat dan bot.

Ada laporan dari Korea Selatan dan Taiwan menyatakan pelancong yang tiba dari Jepun didapati ada sedikit tahap radiasi. – Agensi
sumber : bharian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...