Friday, July 01, 2011

Lynas patuhi piawaian radiasi

KUALA LUMPUR: Laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang diumumkan semalam mendapati projek Lynas Corporation Ltd (Lynas) untuk mengekstrak nadir bumi yang akan beroperasi di Gebeng, Pahang, mematuhi piawaian keselamatan radiasi antarabangsa.
Laporan setebal 55 muka surat yang dibuat panel bebas sembilan pakar dalam bidang keselamatan dan kesihatan radiologi itu turut mengesahkan dua badan kawal selia iaitu Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memastikan semua aspek projek berkenaan mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.
Bahkan, dalam sesetengah kes, peraturan di negara ini bukan saja lengkap dan mematuhi piawaian IAEA, malah lebih ketat berbanding piawaian keselamatan diterima di peringkat antarabangsa. 

Ia turut mengenal pasti 11 cadangan memperbaiki pengurusan kawal selia oleh AELB dan agensi lain yang perlu dilaksanakan sebelum projek Lynas boleh beroperasi untuk peringkat seterusnya. 

Pengumuman itu dibuat melalui kenyataan media bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili yang dibacakan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria. 

Dr Rebecca berkata, kandungan laporan IAEA antaranya menjelaskan Lynas perlu mengemukakan rancangan pengurusan sisa jangka panjang yang lengkap kepada kerajaan dan mematuhinya sebelum boleh memulakan operasi. 
Katanya, Lynas juga perlu menangani isu yang mungkin timbul daripada penutupan kilang serta pemulihan alam sekitar. 

“IAEA mencadangkan satu dana melalui peruntukan satu peratus daripada nilai jualan syarikat setiap tahun untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan setengah daripadanya bagi menangani kos pengurusan sisa jangka panjang,” katanya. 

IAEA juga mencadangkan AELB mempunyai sumber teknikal, kewangan dan manusia mencukupi, berkeupayaan dan bebas untuk mengawal selia Lynas serta lebih telus dalam menyalurkan maklumat kepada awam berhubung tindakan mereka ke atas projek Lynas. 

Dr Rebecca berkata, tanpa kemuka perancangan pengurusan sisa jangka panjang yang lengkap kepada AELB untuk pertimbangan dan kelulusan, kerajaan tidak akan benarkan Lynas mengimport bahan mentah dan aktiviti operasi dilakukan di tapak berkenaan. 

Untuk laporan lengkap boleh melawat IAEA www.iaea.org/newscenter/news/pdf/lynas-report2011.pdf atau kunjungi laman web MITI atau MOSTI. 

Sementara itu, di KUANTAN, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata isu Lynas dipolitikkan sejak mula lagi dan pihak yang menentang projek itu sudah dipengaruhi pembangkang yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik. 



ikuti kisah Lynas di sini


sumber :bharian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...