Friday, July 01, 2011

Finalis Imam Muda : aku sokong Imam Muda Nazarul :)




UJIAN besar yang ditempuhi sepanjang sembilan minggu mengikuti program Imam Muda bukan sebarang individu yang mampu menghabiskan.
Tidak semua mampu berhadapan dengan jenazah yang tidak sempurna untuk diuruskan sekiranya tiada kekuatan mental dan fizikal, berhadapan mayat bayi dalam isu pembuangan bayi, menyelami perasaan banduan terakhir, orang tua yang ditempatkan di rumah kebajikan dan pelbagai ujian lagi.
Semuanya menguji ketabahan hati dan melawan perasaan jiwa yang berkecamuk untuk menangani masalah sebelum bergelar Imam Muda.

Malam ini adalah penentu debaran Imam Muda peringkat akhir apabila hanya dua daripada 10 Imam Muda akan dinobatkan sebagai Juara Imam Muda musim kedua.

Adakah graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu (al-Quran & Hadith) Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26 (Hassan) atau pemegang Diploma Pengajian Islam Kolej Pengajian Islam & Dakwah, Nazarul Izwan Zolkiflee, 26 (Nazarul) Imam muda yang dicari.

Biarpun juara Imam Muda ini bakal menerima hadiah cukup mewah yang dianggarkan RM350,000 iaitu kereta, wang tunai, pakej haji, biasiswa melanjutkan pengajian ke Universiti Madinah dan pelbagai lagi, begitu juga dengan naib juara turut mendapat hadiah yang sama. 
Namun ternyata ilmu yang diperoleh di dalam program itu tidak ternilai daripada hadiah yang bakal mereka terima. Apapun tanggungjawab yang lebih berat terhadap masyarakat lebih mendebarkan mereka sebaik tirai program ditutup malam ini.

Jika diimbas kekuatan dari dua Imam Muda ini, agak sukar untuk kita menentukan siapa yang lebih memiliki kelebihan untuk bergelar juara Imam Muda unggul. Dalam usia mereka baru mencapai 26 tahun, mereka sudah melalui pelbagai pengalaman berharga.

Siapa menyangka, Nazarul yang lahir dari latar belakang keluarga yang hanya memiliki asas saja di dalam ilmu agama, namun kecekalan, kesungguhan dan tidak mengaku kalah melayakkan dirinya untuk berdiri di pentas akhir.

Beliau disifatkan sebagai Imam Muda yang berani menyahut cabaran, memiliki hati yang bersih sehingga memudahkan ilmu yang dipelajari cepat dimiliki.

Mudir, Datuk Hassan Mahmud juga menganggap dirinya orang yang merendah diri, ramah dan menghormati masyarakat sekeliling.

Begitu juga dengan Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, beliau tertarik dengan pemikiran yang melangkaui kotak fikiran manusia biasa. 

Bagaimanapun, kita tidak sesekali dapat mempertikaikan kelebihan sama yang dimiliki Hassan, dari air mukanya yang bersih jelas menggambarkan persis lelaki soleh yang mampu menarik perhatian sesiapa saja sekiranya beliau membuka bicara. 

Hassan adalah seorang yang pendiam namun ramah sekiranya didekati. Sedikit seperti kehidupan yang pernah dilalui Nabi Muhammad S.A.W yang dibesarkan tanpa ayah di sisi ketika beliau masih kecil. 

Ini membuatkan Hassan lebih manja bersama ibunya. Rahmatnya apabila kita sering membantu dan bersama ibu setiap masa, apa saja yang didoakan ibu dipermudahkan Allah.

Pengalaman yang ditimba ketika mengikuti salah satu program realiti Akademi al-Quran suatu masa lalu banyak memberi panduan yang berguna kepadanya.

Mudir, Hassan Mahmud juga meyakinkan bahawa, Hassan ternyata memiliki kekuatan pada semua ujian teori dan praktikal yang dilaluinya. Memandangkan dirinya juga adalah seorang pensyarah di salah sebuah sekolah agama di ibu negara, ternyata kelebihan itu juga bakal membantu dirinya di peringkat akhir Imam Muda ini.

Semuanya akan ditentukan malam ini pada peringkat akhir Imam Muda yang akan bersiaran secara langsung dari Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. Penonton di rumah juga boleh mengikuti program ini menerusi saluran Astro Oasis 106, hari ini jam 9 malam. 

sumber : bharian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...